Terima kasih Muhyiddin kerana porak-porandakan GLC
3 min read

Terima kasih Muhyiddin kerana porak-porandakan GLC

Perkerjaan, peluang perniagaan akan hilang jika pertelingkahan politik berterusan

Selamat datang ke The Malaysianist, suratberita yang mencabar dan menyiasat komplot wang dan kuasa demi anda. Ruangan ini bebas daripada tekanan mereka yang  berkepentingan dan kami utuh bersama akar umbi masyarakat.

Terbitan ini adalah untuk semua. The Malaysianist merupakan suratberita siaran berbahasa Inggeris dan Melayu.

Catatan: Anda mungkin telah melihat saranan pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Rais Hussin Mohamed Ariff di media sosial berkenaan dengan campuran minuman “Corona Kashayam” yang dikatakan mampu untuk menentang Covid-19.

Sila abaikan saranan tersebut. Idea kurang pintar itu adalah sewaktu dengan saranan Menteri Dr Adham Baba yang mengatakan minumlah air suam untuk membunuh virus Covid-19. “Corona Kashayam” tersebut telah pun didapati “tidak mempunyai sebarang bukti saintifik untuk menyokong keberkesanannya” sejak tahun 2020.


Pertelingkahan politik di antara Umno dan Bersatu telah mengetengahkan ketidakstabilan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terutamanya yang diketuai oleh pemimpin utama Barisan Nasional.

Perlantikan ahli politik ke dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat gergasi nasional ini disebabkan oleh polisi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menenteramkan mereka yang taat kepadanya, termasuklah MP.

Ini telah membawa persoalan kepada tadbir urus dan kelestarian syarikat-syarikat terbabit kerana ia melibatkan kelangsungan pekerjaan dan juga inisiatif sosial seperti memupuk keusahawanan rakyat, bukannya kroni semata-mata.

Dikala negara sedang berada di dalam darurat menghadapi krisis Covid-19 dan juga krisis politik yang tidak berkesudahan, nasib GLC-GLC ini juga berada di dalam kepincangan.

Pada masa kini, kepincangan ini masih tertumpu kepada dua syarikat yang diterajui Umno. Pertamanya adalah Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang mana pengerusinya adalah wakil rakyat Padang Terap, Mahdzir Khalid.

Maklumat dalaman TNB menyatakan bahawa usaha oleh beberapa pihak untuk menyingkirkan ketua eksekutif Amir Hamzah Azizan telah gagal apabila permohonan pihak terbabit untuk berjumpa Muhyiddin Yassin bagi membincangkan hal usaha penyingkiran tersebut telah ditolak Pejabat Perdana Menteri pada bulan Disember.

Kini, Amir Hamzah dijangka akan terus mengetuai TNB sehingga Ogos, iaitu tanggal yang sama darurat yang sedang berjalan akan ditamatkan, “selagi ketegangan politik kekal sama” ditambah maklumat terbabit.

Lembaga pengarah TNB juga telah dipolitikkan apabila dua wakil Barisan Nasional iaitu Nawawi Ahmad (Umno) dan Rawisandran Narayanan (MIC) telah dilantik pada bulan Oktober sebagai pengarah bebas bukan eksekutif.

Ini membangkitkan kebimbangan kronisme terhadap syarikat-syarikat yang mempunyai pertalian politik dan kemudiannya mendapat bantuan melalui program bumiputra GLC terbabit.

Program bumiputra TNB merangkumi projek jutaan ringgit yang bertujuan untuk memupuk usahawan bumiputra tetapi tidak perlu mendapatkan kelulusan pemegang saham, bermakna ianya tidak mempunyai pengawasan rapi. Di antara 1995 dan 2019, TNB telah membelanjakan RM16.9 billion kepada 822 syarikat termasuklah 32 syarikat pembekal dan 790 syarikat kontraktor.

Keduanya adalah Prasarana Nasional Bhd yang dipengerusikan oleh wakil rakyat Pasir Salak, Tajuddin Rahman. Tajuddin juga kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atas tuduhan salah guna kuasa dalam merombak pengendali pengangkutan nasional tersebut.

Dibawah pimpinannya, presiden dan ketua eksekutif Prasarana, Mohammad Nizam Alias, telah digantung dan disiasat atas tuduhan pengingkaran dan salah laku. Namun Tajuddin tidak menyatakan butiran salah laku tersebut didalam sidang medianya pada Januari 5.

Lebih penting lagi, Prasarana dikatakan sedang menghadapi masalah kewangan yang akan membawa risiko kepada kontraktor-kontraktornya – termasuklah firma-firma bumiputra yang merupakan lebih daripada 30% daripada syarikat yang terpilih – yang sedang menjalankan kerja-kerja terhadap projek LRT3.

Selepas sidang hari itu, Prasarana telah membayar sebanyak RM375 juta kepada kontraktor siap gunanya (turnkey) iaitu MRCB-George Kent Sdn Bhd berikutan aduan 17 firma yang terlibat di dalam projek LRT3, yang mendakwa sejumlah RM723.9 juta terhutang kepada mereka untuk kerja-kerja yang dijalankan sehingga Oktober tahun lalu.

Bayaran RM375 juta tersebut, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan yang dituntut, merupakan pembayaran berperingkat bagi kerja-kerja yang telah siap dijalankan pada July dan Ogos. Bayaran bagi bulan September dan Oktober dikatakan masih terhutang.

Tajuddin menegaskan bahawa Prasarana telah membayar MRCB-George Kent sehingga RM3.47 billion pada Oktober 2 untuk kerja-kerja yang telah siap dijalankan sehingga bulan tersebut. Namun MRCB-George Kent menyangkal dakwaan pengerusi tersebut dan menyatakan bahawa mereka telah hanya menerima bayaran sehingga bulan Jun.

Jika Prasarana berterusan gagal untuk membuat pembayaran pada masanya, ia akan memberi risiko kepada lebih kurang 10,000 pekerja termasuklah kontraktor-kontraktor kecil bumiputra, dan juga keseluruhan projek tersebut.

Muhyiddin dijangka akan mempunyai kuasa yang telah diperluaskan sementara perintah darurat dikuat kuasakan.

Dalam ucapannya pada Isnin lalu, beliau menjamin “semua pemegang kepentingan” bahawa negara ini akan kekal terbuka untuk perniagaan dan perdagangan semasa darurat berlangsung. Beliau berkata bahawa “We remain committed to good governance in these times and we have a robust and dynamic regulatory ecosystem.”

Menurut kenyataan YDPA mendahului kenyataan Muhyiddin, satu jawatankuasa bebas dan diahlikan oleh wakil rakyat dan juga pakar-pakar akan ditubuhkan untuk menasihati perdana menteri berkenaan pelbagai perkara, termasuklah keputusan untuk menamatkan darurat lebih awal jika perlu.

Para pemerhati juga mengatakan bahawa keteguhan dan dinamik ekosistem yang dipimpin Muhyiddin kekal menjadi tanda tanya dengan jangkaan bahawa percaturan perdana menteri ini juga adalah untuk memperkukuhkan kuasanya dalam masa yang sama untuk melemahkan Umno.

“Di dalam darurat, beliau boleh melakukan percubaan tersebut kerana beliaulah yang memegang kuasa. Tetapi kita juga harus meneliti pembahagian kontrak-kontrak awam.

“Beliau mungkin akan membahagikan kontrak-kontrak tersebut dalam cara yang akan memastikan pembahagian pulangan yang sama rata di antara menyedapkan hati penyokongnya dan juga menarik Umno untuk memihak kepadanya.”

Enjoying these posts? Subscribe for more